Wednesday, September 16, 2009

Usahawan dari Alor Star


USAHAWAN Bumiputera yang terkenal dengan jenama kuih-muih tradisional dan moden, Arisya Home Bakery (Arisya) menyuntik pelaburan kira-kira RM100,000 bagi memperkukuhkan jenamanya sempena Aidilfitri kali ini.

Dengan memasarkan 21 jenis kuih ke seluruh negara sempena musim perayaan Aidilfitri sejak beroperasi sembilan tahun lalu.

Pemilik Arisya, Zuraini Kamal, berkata kali ini beliau memasarkan lebih 21 jenis biskut raya ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan yang meningkat setiap tahun.
Zuraini menjelaskan, beliau mula berkecimpung dalam bidang itu sejak 2001 berikutan minat membuat kuih dan kek secara kecil-kecilan.Menurutnya, pelaburan yang dilakukan adalah untuk membeli bahan membuat kuih dan kek di samping membeli peralatan membuat kuih seperti ketuhar gelombang mikro, sewa tapak kedai serta bahan membuat kuih.

“Tidak sangka pula perniagaan yang mulanya hanya sekadar suka-suka terus menjadi minat mendalam. Setiap tahun tempahan kuih raya meningkat. Oleh itu, pelaburan terhadap kemudahan adalah penting,” katanya di Alor Star, Kedah.

Beliau berkata, antara kuih yang dijual ialah almond london, almond tip, almond, butter nut, ais cream, caterpillar, samperit, oat, nestum, kurma, kakmur kacang, makmur kurma, shortbread, gajus, double honey cookies, biskut cornflakes, roll tart, cornflakes madu, matahari dan choc chip.

“Setiap tahun syarikat kami banyak menerima tempahan kuih-muih terutama dari peniaga di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Perlis, Pahang selain di negeri ini.

“Kami mula membuat kuih ini sejak awal Ramadan memandangkan tempahan setiap tahun meningkat. Setiap hari kami membuat antara 20,000 hingga 30,000 kuih untuk pasaran seluruh negara,” katanya.

Zuraini berkata, Arisya Bakery menawarkan potongan harga istimewa 30 peratus kepada pemborong atau peniaga yang membeli lebih dari satu kotak yang mempunyai 24 balang kuih.

“Selain menjual kuih-muih, kami juga turut menjual tempat bekas kuih dengan harga RM18 bagi tiga set serta set hamper hari raya yang dijual antara RM35 hingga RM3,000 setiap satu,” katanya.

Katanya, syarikat itu kini mempunyai lapan pekerja pengeluaran yang beroperasi setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam sempena Aidilfitri kali ini.

No comments:

Post a Comment