Wednesday, August 19, 2009

Pelajar cemerlang dapat rumah


NIK NUR MADIHAH dipeluk ibunya, Mariani selepas menerima kunci rumah atas kecemerlangannya dalam pelajaran di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, semalam.


"Saya bersyukur kerana semua ini rezeki daripada Allah. Rumah baru ini adalah hadiah paling besar buat kami sekeluarga sempena kedatangan Ramadan," kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.


Semalam, penantian keluarga Nik Nur Madihah untuk memiliki rumah baru yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila menerima kunci banglo yang dihadiahkan Kerajaan Kelantan sebagai penghargaan atas kejayaan cemerlangnya di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini.

Banglo setingkat yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air seluas 800 kaki persegi bernilai RM130,000 itu dihadiahkan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang mengambil masa lebih dua bulan untuk disiapkan. Nik Nur Madihah berharap, hadiah rumah baru itu juga akan menjadi pendorong kepada tiga adiknya untuk turut mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pelajaran di samping sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang membantu dan memberikan pelbagai sumbangan kepada kami sekeluarga selama ini," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

No comments:

Post a Comment