Tuesday, December 29, 2009

Tip anak muda sertai bidang keusahawanan

SEJAK dulu lagi, bidang perniagaan dianggap medium terbaik bagi seseorang yang mahu bekerja sendiri dan menjana pendapatan sebagai usahawan - tidak kiralah bisnes berskala kecil atau besar.

Sejak akhir-akhir ini, kesedaran generasi muda untuk menyertai sektor perniagaan makin meningkat namun perlu diakui, ramai juga tidak tahu bagaimana hendak memulakannya terutama dalam mendapatkan pembiayaan.



Bagi yang kurang arif, sebenarnya banyak kemudahan dan skim pembiayaan yang disediakan kerajaan untuk bakal usahawan bagi menggalakkan generasi muda berniaga. Antara badan itu ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang banyak membantu usahawan Bumiputera memulakan perniagaan sejak ditubuhkan pada 1966.

Kolum Tanya Pakar minggu ini menampilkan Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Datuk Othman Ahmad yang berkongsi maklumat mengenai pakej pembiayaan perniagaan yang ditawarkan Mara kepada bakal usahawan.

Othman turut menggariskan beberapa kriteria yang perlu ada dalam diri individu yang mahu menjadi usahawan.

“Apa yang penting ialah cara berfikir. Adakah mereka (bakal peniaga) fikir bidang keusahawanan dapat menjadi ruang masa depan untuk mereka. Ramai antara kita menganggap bidang perniagaan sukar dan hanya boleh dilakukan golongan tertentu saja.

“Walaupun ramai antara kita mendapat pendidikan tinggi, namun cara pemikiran mestilah betul. Ini kerana pada zaman ini, kita dapat dapat melihat usahawan sebagai golongan yang memainkan peranan penting dalam dunia. Merekalah yang menjana kewangan dan kekayaan sesuatu bangsa dan negara.

“Kepada mereka yang berminat tapi ragu-ragu, mereka boleh berjumpa dengan pegawai Mara untuk mendapatkan pendedahan, pandangan dan nasihat,” katanya. Usahawan juga perlu bersedia dari aspek emosional setiap masa dalam menempuh cabaran dunia perniagaan.

“Sesetengah orang hendak berniaga apabila melihat rakan mereka kaya selepas berniaga... Jadi mereka terikut-ikut. Ini antara perkara yang kita hendak perbetulkan. Perniagaan atau bidang keusahawanan bukalah bidang untuk dicuba-cuba atau eksperimen, sebaliknya boleh dibangun dan dimajukan.

“Untuk menceburi bidang keusahawanan, mereka mesti membuang semua tanggapan negatif dan tidak boleh terikut-ikut. Kita tidak boleh membuat tanggapan berdasarkan logik saja kerana perniagaan bukan bersandarkan logik. Perniagaan adalah sesuatu yang sentiasa bergerak dan berubah,” katanya.
Ramai yang berminat memulakan perniagaan sendiri namun hasrat itu terpendam begitu saja apabila memikirkan soal modal. Apakah peluang terbuka kepada mereka?

Di Mara, kami menyediakan peruntukan bagi menggalak, memaju dan meningkatkan tahap perniagaan khusus untuk kaum Bumiputera yang ingin menjadikan perniagaan sebagai kerjaya. Ia juga dilihat sebagai usaha mewujudkan lebih ramai majikan di kalangan Bumiputera. Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi graduan sama ada lulusan peringkat sijil, diploma, ijazah dan sebagainya.

Pembiayaan perniagaan yang disediakan Mara terbahagi kepada tiga kategori perniagaan iaitu mikro yang nilai modal sebanyak RM250,000 ke bawah; perniagaan kecil (nilai modal antara RM250,000 hingga RM500,000) dan kategori sederhana (nilai modal antara RM500,000 hingga RM5 juta).
Ini disifatkan sebagai prasarana kondusif bagi mendorong orang ramai bergiat lebih aktif dan efisyen dalam perniagaan. Ia juga dilihat sebagai usaha melahirkan golongan usahawan berazam tinggi.
Ada antara bakal usahawan ini ragu-ragu untuk mendapatkan pembiayaan. Ini kerana mereka mungkin bimbang jika perniagaan yang dikendalikan itu tidak berjaya tetapi terikat dengan pinjaman.

Bagaimana Mara membantu dalam hal ini?
Kita mengendalikan program ‘penyemaian dan pertumbuhan’ dalam perniagaan. Mara menyediakan pakej lengkap bagi mereka yang berminat untuk berniaga.

Ini turut meliputi kursus keusahawanan khas; program menjadikan usahawan muda mentee kepada mentor dari kalangan usahawan berjaya; program inkubator, ruang niaga, pinjaman peralatan serta diskaun atas pembayaran balik pinjaman. Sehubungan itu, bakal usahawan tidak perlu ragu-ragu untuk mengambil peluang ini. Apa yang penting ialah keyakinan untuk berjaya dan menjadikan perniagaan sebagai kerjaya.

Peluang bukan saja terbuka kepada mereka yang mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang perniagaan yang ingin diteroka, tetapi kepada sesiapa saja yang berminat. Selepas latihan khusus diberi, bakal usahawa juga akan mengikuti kursus motivasi bagi memantapkan semangat dan keyakinan mereka.
Bagaikan stigma di kalangan bakal usahawan yang berpandangan sukar mendapatkan pembiayaan selain terikat dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi. Benarkah begitu?

Seperti yang kita tahu, untuk berjaya, tidak ada jalan pintas. Seseorang yang ingin berjaya sebagai usahawan, mereka mesti mempunyai nilai keusahawanan dalam diri mereka. Tidak semua orang boleh jadi usahawan tapi sebenarnya, ramai orang boleh berniaga. Kita boleh lihat ramai yang berniaga dalam tempoh yang singkat dan bermusim. Namun mereka tidak melakukannya berterusan.

Matlamat kita ialah melahirkan usahawan sejati yang akan memajukan perniagaan mereka dan mewariskannya kepada bangsa. Ini pendekatan baru yang Mara lakukan. Kami mahu memilih individu yang ingin menjadikan perniagaan sebagai kerjaya dan bukannya soal ramai atau berapa banyak usahawan dilahirkan. Sebaliknya, Mara mahu melahirkan golongan usahawan yang boleh dibanggakan.

Apa program atau prosedur yang perlu dilalui bakal usahawan sebelum mendapat pembiayaan Mara?

Pembiayaan perniagaan ini ditawarkan dalam pelbagai pakej mengikut saiz dan jenis perniagaan. Jika seseorang bakal usahawan itu sudah bersedia memulakan perniagaan, mereka boleh berjumpa dengan pegawai Mara di daerah mereka untuk mendapatkan borang permohonan.

Cawangan Mara di peringkat daerah diberi kuasa meluluskan pembiayaan hingga RM20,000 manakala peringkat negeri hingga RM250,000. Bakal usahawan boleh memilih pakej pembiayaan perniagaan tersedia.

Kami juga sentiasa mengambil tahu perkembangan perniagaan bagi memastikan ia berada di landasan betul. Jika ada sebarang masalah dalam pengendalian perniagaan, kita ada unit yang boleh membantu dan membimbing usahawan.

Apakah Mara bersikap selektif dalam mengeluarkan pembiayaani? Apakah jenis perniagaan yang boleh mendapat bantuan modal dari Mara?

Ada lima bidang sektor dalam pembiayaan perniagaan yang disediakan iaitu pembuatan, perdagangan, pengangkutan, pemborongan dan perkhidmatan. Apa saja perniagaan dalam kelima-lima sektor ini yang dilihat halal, kita akan beri pembiayaan. Bagi bidang baru seperti teknologi maklumat (IT), kita akan lihat jika ia memerlukan kajian dan penyelidikan.

Kita juga ada bahagian khas yang akan melaksanakan proses ini (kajian) terlebih dulu. Ini penting bagi memastikan sesuatu bidang itu mempunyai pasaran atau tidak. Tanpa pasaran, sesebuah perniagaan tidak dapat hidup.

Perniagaan juga tidak boleh bersandar kepada idea tetapi perlu mempunyai asas. Jadi, kita perlu pastikan sesuatu bidang perniagaan boleh diterima dalam pasaran atau tidak. Banyak usahawan dalam bidang baru seperti IT yang sudah berjaya dengan bantuan Mara.

Bagaimana proses kelulusan pembiayaan dibuat?

Di bawah pendekatan baru, bagi pembiayaan di bawah RM250,000 di peringkat negeri, selalunya proses kelulusan mengambil masa kira-kira dua minggu dengan syarat semua dokumen lengkap.
Bagi pembiayaan lebih RM250,000 pula, kita lihat pada bidang yang dipilih serta aspek lain seperti pasaran, sistem pengurusan dan soal lain yang boleh menentukan kejayaan perniagaan.

Bagaimana dengan sambutan diterima daripada pemohon pembiayaan merangkumi golongan graduan sejak kerajaan menyarankan mereka berniaga?

Kita ada program khas untuk graduan dalam pelbagai bidang iaitu Technopreneur hasil kolaborasi dengan beberapa badan lain. Ini sebagai usaha memilih benih usahawan yang baik di kalangan graduan. Rata-rata graduan mempunyai pengetahuan yang diperlukan, cuma mereka perlu lebih banyak bimbingan dari aspek lain seperti emosi dan pengalaman. Selepas tamat pengajian dan menjalani program yang kita anjurkan, mereka dikira layak meneruskan perniagaan dalam bidang yang diceburi.

Setakat ini, lebih daripada 65 peratus graduan yang mengikuti program ini berjaya menjalankan perniagaan. Sebahagian daripada mereka pula sedang mencari lokasi strategik untuk perniagaan.
Seperti yang kita sedia maklum, lokasi yang sesuai, senang dihubungi dan mempunyai kuasa belian tinggi diperlukan dalam bidang perniagaan tahap tinggi. Melalui program Technopreneur, ilmu yang dipelajari di universiti dimantapkan lagi dengan kelayakan mereka dalam bidang perniagaan.

Ini selaras dengan hasrat melahirkan golongan usahawan berilmu bagi menghadapi knowledge economy (k-economy) dan dunia perniagaan yang sentiasa berubah. Di setiap peringkat institusi pendidikan juga kita sudah terapkan nilai keusahawanan dalam usaha melahirkan pemimpin ekonomi yang ketika ini sukar dicari dalam masyarakat.

Apakah jenis atau bidang perniagaan yang disyorkan atau viable bagi usahawan baru?

Sekarang, kita beri tumpuan kepada bidang makanan kerana makanan diperlukan dalam setiap situasi. Atas faktor kepentingannya, Mara mewujudkan program inkubator untuk perniagaan dalam bidang pemakanan. Ini bagi meningkatkan tahap kualiti dan teknologi yang berkaitan dalam bidang ini supaya mereka mengikut piawaian tempatan dari aspek status halal dan sebagainya.

Selain itu, usahawan yang terbabit dalam industri makanan juga perlu mencapai piawaian GMP (Amalan Pengilangan Baik) dan HACCP (Bahaya Analisis Tahap Kawalan Kritikal ) peringkat antarabangsa.
Kita mahu membentuk usahawan yang mempunyai ciri national and global player. Selain itu, kita juga memberi tumpuan kepada bidang baru iaitu sistem pembinaan bersepadu (IBS) membabitkan penghasilan bahagian pasang siap pembinaan serta sektor peruncitan dan bidang lain.

Daripada permohonan yang diterima setakat ini, bagaimana anda melihat kecenderungan, minat dan kesungguhan bakal usahawan dalam memulakan perniagaan?
Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Kita sudah memberi pembiayaan kepada lebih 33,000 peniaga. Secara tidak langsung, kita dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap bidang perniagaan.

Usahawan melihatnya sebagai sumber pendapatan kukuh untuk kemajuan keluarga, bangsa dan negara. Kita optimis, lebih ramai lagi akan terdorong menceburi bidang perniagaan.

No comments:

Post a Comment